Selamatkan Akidah Anak Muhammad Shafi Saravanan Abdullah

Pas Johor Bahru memandang serius masalah perebutan hak penjagaan anak yang merujuk kepada kes R Subashini yang bukan beragama Islam dengan suaminya yang memeluk Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.

Manakah yang lebih besar dan berdaulat kuasanya diantara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah dalam menjaga maslahat kepentingan akidah sianak yang masih kecil.

Walaupun dari segi dasarnya mahkamah syariah berkemampuan untuk mempertahankan akidah sianak tanpa pengetahuan dari ibunya yang bukan beragama Islam ini, tapi ia tidak boleh dipandang ringan sekiranya R Subashini berusaha untuk membawa lari anak-anaknya dari Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.

Cukuplah dengan kes-kes antara agama dahulu, yang mengajar kita peri pentingnya kerajaan untuk terus memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah yang sangat terhad dan pincang bila mana mahkamah sivil & mahkamah rayuan boleh campur tangan dalam urusan menghalang undang-undang syariah dikuatkuasakan oleh orang Islam.

Pas Johor Bahru berharap ketegangan masalah ini dapat dikendurkan asal saja kes ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menyinggung hati sesiapapun.

Kes Subashini & Suaminya Dalam Bidangkuasa Mahkamah Sivil

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan R Subashini untuk menghalang suaminya yang telah memeluk Islam daripada membawa kes perceraian mereka ke mahkamah syariah, atas sebab-sebab teknikal.

Dalam keputusan majoriti 2-1, mahkamah tertinggi di Malaysia itu, memutuskan ia kerana Subashini telah memfailkan petisyen perceraian mereka terlalu awal daripada tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA).

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa pertikaian bagi membubarkan perkahwinan seorang bekas setiausaha itu dengan suaminya yang memeluk Islam serta bagi mendapatkan hak penjagaan anak mereka terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Rayuan Subashini itu didengar oleh panel tiga orang hakim - Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Azmel Ma'amor dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.

"Perkahwinan bukan menurut Islam antara seorang suami dan isteri masih kekal sehinggalah ia dibubarkan oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan petisyen perceraian oleh pasangan yang kekal dengan agamanya mengikut Seksyen 51 (1) Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976," kata Nik Hashim.

Beliau yang mengetuai panel hakim itu berkata Subashini berhak meneruskan permohonan mendapatkan hak penjagaan itu tetapi dia hendaklah mengemukakan petisyen baru untuk bercerai.

Nik Hashim berkata, perintah mahkamah syariah membubarkan perkahwinan sivil tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang selain ianya merupakan satu keterangan perceraian mengikut hukum Syarak.

Pertukaran agama

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan bahawa suami Subashini, T. Saravanan, berhak merujuk kepada mahkamah syariah kerana beliau tertakluk kepada undang-undang Islam selepas menjadi seorang muslim.

Di bawah LRA, Subashini hanya boleh memfailkan petisyen perceraian tersebut selepas tamatnya tempoh tiga bulan dari tarikh suaminya, T Saravanan memeluk Islam.

Bagaimanapun, Subashini memfailkan petisyen perceraian itu 12 hari sebelum tamat tempoh tiga bulan berkenaan.

Oleh itu, petisyen perceraian tersebut dianggap batal dan tidak sah.

Subashini, 28, yang beragama Hindu, mahu menghalang suaminya itu, yang telah memeluk Islam dengan nama Muhammad Shafi Saravanan Abdullah, daripada membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah.

Suaminya telah memeluk agama Islam pada bulan Mei 2006 bersama-sama dengan anak lelaki sulung mereka, Dharvin Joshua, 4.

Suaminya kemudiannya membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah serta memohon hak penjagaan anak lelaki kedua mereka, Sharvin, 2.

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan hari ini bahawa Muhammad Shafi tidak menyalahgunakan proses mahkamah apabila menukar agama anaknya yang berusia empat tahun itu tanpa pengetahuan ibunya.

Menurutnya, mengikut undang-undang Islam, hanya seorang sahaja - ibu atau bapa - mesti dimaklumkan mengenainya pertukaran agama anak tersebut.

Bawa ke mahkamah syariah

Dalam rayuan Subashini kepada Mahkamah Rayuan pada 13 Mac, Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hassan Lah - dalam penghakiman 2-1 - telah memutuskan wanita itu membawa kesnya ke mahkamah syariah. Seorang lagi panel hakim ialah Datuk Gopal Sri Ram.

Menurut penghakiman majoriti itu, mahkamah memutuskan bahawa perintah yang dipohon oleh Subashani adalah tidak perlu kerana mahkamah syariah layak dan berkemampuan untuk memutuskan kes tersebut.

Bagaimanapun, pada 30 Mac, Subashini mendapatkan perintah sementara dari Mahkamah Rayuan untuk menghalang Saravanan daripada mengemukakan tuntutannya itu di mahkamah syariah.

Perintah mahkamah itu juga melarang Saravanan daripada menukar agama anak bongsunya serta melarangnya daripada membawa kes tuntutan hak penjagaan anak-anaknya ke mahkamah syariah.

Ia juga memutuskan bahawa seseorang pasangan yang telah memeluk Islam boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk menukar agama anak-anak mereka yang masih di bawah umur, kepada agama Islam, tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pasangan yang seorang lagi.

Subashini, suami tidak hadir

Bagaimanapun, panel hakim sebulat suara tidak bersetuju dengan penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan sebelum ini yang meminta Subashini membawa kesnya ke mahkamah syariah kerana bidangkuasa mahkamah tersebut adalah ke atas orang Islam sahaja.

Subashini dan suaminya - seorang ahli perniagaan - tidak hadir ketika mahkamah mengumumkan penghakimannya hari ini.

Sementara itu, peguam Subashini, K Shanmuga berkata pelanggannya tidak berjumpa dengan anaknya Dharvin, yang tinggal bersama suaminya sejak suaminya itu memeluk Islam.

"Beliau juga sangat bimbang tentang anak bongsunya, Sharvin, kerana berdasarkan keputusan hari ini, agamanya juga boleh ditukar pada bila-bila masa tanpa pengetahuannya," kata Shanmuga.

Shanmuga menyifatkan keputusan mahkamah hari ini sebagai 'satu pukulan' terhadap pelanggannya itu.

"Keputusan tersebut...menimbulkan ketidaktentuan mengenai anak-anaknya dan apa akan jadi dengan agama mereka serta hak-hak penjagaan mereka," katanya.

Subashini gagal mendapatkan perintah mahkmah untuk menghalang suaminya itu daripada membawa prosiding perceraian mereka ke mahkamah syariah dan untuk menghalangnya daripada menukar agama anak-anak mereka.

Shanmuga berkata, Subashini tidak mencabar perceraian mereka tetapi mahu ianya diputuskan di mahkamah sivil.

Shanmuga juga menggesa kerajaan supaya menyegerakan pembaharuan undang-undang yang memberi hak yang sama kepada ibu dan bapa dalam perkara seumpama itu.

"Ini memerlukan pembaharuan perundangan yang segera bagi memastikan kedua-dua ibu dan bapa mempunyai hak yang sama dalam menentukan agama anak-anak mereka dan menghalang satu pihak daripada pergi ke mahkamah syariah berhubung sebarang perkara yang membabitkan perkahwinan bukan Islam," katanya.

Seorang peguam yang terbabit dalam kes tersebut berkata, keputusan hari ini mungkin memaksa Subashini lari bersama anak bongsunya kerana bimbang suaminya akan cuba menukar agama anaknya itu.

"Berdasarkan keputusan mahkamah, nampaknya suaminya boleh menukar agama anaknya untuk memeluk Islam," katanya kepada AFP tetapi tidak mahu namanya disebut.

"Satu-satunya pilihan yang ada padanya sekarang ialah untuk meninggalkan negara ini bersama anaknya itu bagi mengelaknya daripada masuk Islam," katanya lagi.


Sumber : Jundullah - Malaysiakini
Layari: PAS Johor

0 comments:

Post a Comment