Sejarah Ringkas Al-Syeikh Atiah Saqr

Image

Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr.

Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.

Beliau mula menghafaz al-Quran ketika berumur 9 tahun dan beliau mula meminati dan mempelajari bidang fiqh ketika berusia 10 tahun. Beliau memulakan pengajian secara formal di sebuah sekolah rendah yang terdapat di kampung beliau, Behna Bai. Minat beliau pada ilmu tidak pernah berkurang. Ini dibuktikan apabila beliau melanjutkan pengajiannya ke Sekolah Tinggi Agama di Zaqaziq (Maahad Zaqaziq al-`Ali al-Dini) pada tahun 1928. Beliau mendapat Shahadah Aliyah (Sijil Tinggi) pada tahun 1941 dalam bidang Usuluddin pengkhususan bidang dakwah.

Sudah menjadi resam bagi seorang ulama pendakwah yang tidak akan berhenti rehat walaupun sedetik, sebaik menamatkan pengajian, beliau terus berkhidmat di Kementerian Waqaf (agama) Mesir sebagai imam, khatib dan tenaga pengajar di Masjid Abdul Karim Ahmadi yang terletak di Bab al-Sya’riyyah di Qaherah pada 16 Ogos 1943. Kemudian pada bulan Februari 1944, beliau ditugaskan ke Masjid Al-Arba’in Al-Bahri (sekarang dengan nama masjid Ammar bin Yasir) di Giza.

Kerja-kerja dakwah yang beliau laksanakan tidak terhenti setakat itu sahaja malahan beliau juga turut menjadi wakil bagi al-Azhar pada tahun 1945 untuk menjadi penceramah di beberapa tempat di bumi Kinanah ini. Antaranya di Tahta Jarjawiyah, Suez, Raksu Al-Gharbiyyah dan juga Qaherah.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.

ImageWalaupun sibuk dengan tugas yang diamanahkan ini, amanah ini tidak menghalang beliau untuk bertanding di dalam pilihanraya dan menjadi ahli Dewan Rakyat pada 1984. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai ahli Parlimen Kerajaan Mesir pada tahun 1989. Kepercayaan masyarakat tidak pernah luntur terhadap kebolehan Syeikh Atiyyah Saqr. Sekali lagi beliau diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Jabatan Sunnah dan Sirah bagi Majlis Tertinggi Agama Islam yang terletak di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir pada tahun 1991.

Khidmat al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqr juga bukan hanya semata-mata tertumpu di Mesir sahaja bahkan masyarakat luar juga tidak mahu ketinggalan untuk menumpang keberkatan ilmu yang Allah swt kurniakan kepada beliau. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Keagamaan Negara Kuwait pada 1972 selama tujuh tahun. Beliau juga turut pernah mengadakan lawatan rasmi dan tidak rasmi di dalam menyampaikan misi dakwah. Antara negara yang pernah beliau kunjungi ialah Iran dan Indonesia (1971), Libya (1972), Bahrain (1976), Algeria(1977), Senegal, Negeria, Amerika Syarikat, Pakistan, Bangladesh, Iraq, Paris, London, Malaysia, Brunei, Singapura dan Negara Soviet.

Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca. Antara karangan beliau yang terlalu tinggi nilainya ialah:

1. الدعوة الإسلامية دعوة عالمية
2. · الدين العالمي ومنهج الدعوة إليه
3. · موسوعة الأسرة تحت رعاية الإسلام (6 مجلدات)
4. · سوأل وجواب للمرأة المسلمة
5. · أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام (7 مجلدات)



Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.


Sumber: PMRAM Online

0 comments:

Post a Comment