Jangan guna parlimen untuk kepentingan politik individu - Sultan Mizan

KUALA LUMPUR, 29 April (Hrkh) - Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Watiqubillah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dalam titah baginda di parlimen pagi tadi, meminta ahli-ahli Dewan Rakyat yang terpilih supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa menunjukkan tingkah laku yang terpuji demi maruah diri dan negara.

ImageBaginda bertitah demikian di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-12, di Parlimen pagi tadi.

Baginda menegaskan, ini adalah disebabkan penghormatan dan keyakinan rakyat kepada Parlimen sebagai sebuah badan perundangan tertinggi negara bergantung kepada peranan ahli Dewan Rakyat.

"Jadikanlah dewan yang mulia sebagai persada untuk menyampaikan teguran yang membina dan pendapat-pendapat yang bernas dan hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan yang mulia ini bagi kepentingan politik individu," tegas baginda.

Justeru baginda meminta penyertaan aktif dan perbahasaan yang berkualiti hendaklah menjadi keutamaaan ahli dewan rakyat.



ImageDalam masa yang sama, baginda meminta kerajaan memajukan sektor pertanian dengan matlamat menjadikannya sebagai penjana ketiga pertumbuhan ekonomi negara melalui tranformasi daripada pertanian tradisional kepada entiti komersial.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana Malaysia diiktiraf sebagai peneraju pensijilan halal.

Baginda turut menegaskan, pencapaian ekonomi yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna sekiranya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan masih berlaku.

Justeru, baginda berkata, sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri, usaha-usaha pembanterasan rasuah akan dipertingkat melalui perstrukturan semula BPR dan menubuhkan suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia, jawatankuasa Parlimen Imagebebaskan rasuah, dan lembaga penasihat pencegahan rasuah serta penambahan bilangan pegawai pencegah rasuah.

Baginda turut berkata, kerajaan komited untuk mengadakan penambahbaikan memperkasakan sistem kehakiman negara supaya terus kekal adil, dihormati dan bebas dari sebarang pengaruh selari dengan hasrat rakyat.

"Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara. Sehubungan itu, suruhanjaya pelantikan hakim akan ditubuhkan bagi membantu menilai dan memilih calon yang sesuai untuk dilantik sebagai hakim," titah baginda.

Baginda turut bertitah, pembangunan kerohanian juga penting bagi meningkatkan kesejahteraan umat.

Image"Beta memandang berat gejala sosial seperti penagihan dadah, penyelewengan akidah, dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesucian Islam," titah baginda lagi.

Baginda turut bertitah bahawa pilihan raya umum telahpun berlalu dan rakyat memberi mandat sekali lagi kepada kerajaan untuk mentadbir negara.

Oleh itu, baginda menasihatkan ahli-ahli Yang Berhormat menunjukkan sifat dan tingkah laku yang terpuji agar nama baik dewan mulia sentiasa terpelihara.

"Laksanakanlah kepercayaan yang diberi oleh rakyat dengan mengambil bahagian yang aktif dengan penuh tanggungjawab dalam semangat demokrasi berparlimen," titah baginda lagi. - mks.

0 comments:

Post a Comment