PKPIM diserang, mana pemimpin-pemimpin Islam?

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM adalah sebuah NGO yang telah ditubuhkan lebih 40 tahun dahulu. Matlamat persatuan ini antara lain adalah untuk mengembalikan pelajar-pelajar Islam Malaysia kepada idealisma Islam yang sebenar yang komprehensif sejajar dengan tuntutan al Quran dan Sunnah.

Badan ini walaupun aktif khasnya dikalangan para siswa Islam namun kadangkala oleh pelbagai sebab aktiviti, program dan kenyataan-kenyataannya tidaklah tertonjol sangat.

Baru -baru ini Pengerusi Halehwal Wanitanya (HEWI) adik Munirah Bahari telah mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar pihak Kementerian Pelajaran menukarkar pakaian seragama pelajar perempuan di sekolah-sekolah. Kata beliau ini bagi menangani jenayah seksual yang melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dikalangan pelajar. Menurut Munirah lagi baju berwarna putih (baju kurung sekolah) yang digunakan di sekolah-sekolah sangat jarang dan menyebabkan ada daya tarikan disitu.


Lalu beliau mencadangkan jika tidak ditukar sekalipun, pelajar-pelajar berkenaan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung labuh yang tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

Saya tidak nampak sebarang kecacatan atau keterlaluan dalam kenyataan adik Munirah ini mewakili PKPIM. Tambah-tambah mereka adalah NGO pelajar Islam Malaysia, oleh itu layak dan paling sesuailah mereka terbit dengan cadangan ini, soal samada cadangan ini akan dituruti atau tidak, itu soal kedua, yang penting Munirah dan PKPIM sesungguhnya berhak menyuarakan pandangan mereka.

Masalahnya, semalam saya terbaca seorang Ketua Editor akhbar berbahasa Inggeris (yang bukan Islam) dalam blognya mengkritik saranan PKPIM ini. Pertama beliau menganggap PKPIM sebagai sebuah NGO yang langsung tidak dikenali, keduanya tindakan NGO tersebut "stupid" atau bodoh dan ketiganya menganggap PKPIM sebagai jelmaan "Little Taliban" kerana mengusulkan sesuatu yang ekstrim dan melampau.

Dalam akhbar The Star hari ini, PKPIM terus menjadi gelanggang serangan pihak-pihak yang sememangnya samada tidak menghormati Islam ataupun penafsiran Islamnya menggunakan acuan ultra liberal barat yang bersandarkan logik akal semata-mata.
Sisters in Islam melalui Pengurus Programnya Norhayati Kaprawi menolak anggapan PKPIM bahawa pakaian sekolah yang ada ini menggalakkan rogol (adik Munirah sebut jenayah seksual) dan seks sebelum nikah. Kata beliau tidak cukupkah dengan pakaian baju kurung yang ada sekarang. Lalu sebagaimana yang biasa SIS lakukan (iaitu memakai aplikasi logik mengatasi syariah) Norhayati berkata, wanita Melayu yang berkabung pun menggunakan baju kurung putih, apa masalahnya (tidak pula saya tahu wanita Melayu ada kod baju untuk berkabung?). Malah tambah Norhayati, Wanita Umno pun menggunakan baju kurung putih, apa isunya (kenapa Wanita Umno pula menjadi sumber hukum?).

Manakala Pengarah Eksekutif Womens Aid Organisation (WAO) Ivy Josiah yang turut tidak bersetuju dengan saranan PKPIM itu mengatakan apa yang perlu bukannya menyemak semula polisi pakaina seragama berkenaan tetapi adalah menyemak semula tanggapan-tanggapan salah berkenaan pakaian wanita. Kata beliau kes rogol berlaku bukan kerana pakaian, ianya akibat kuasa yang si rogol rasakan ia miliki terhadap mangsanya.

Bagi saya selaku badan yang bertanggungjawab PKPIM berhak mengemaukan cadangan ini, tambah-tambah ianya tidak langsung bertentangan dengan matlamat dan perjuangan mereka. Jika ada pihak yang tidak bersetuju atas apa alasan sekalipun, janganlah mengkritik dengan menyerang dan mempersendakan Islam pula. Mengapa usaha untuk mendekati Islam dipanggil sebagai "Talibanisation"?

Saya menyeru badan-badan Islam, para alim ulamak dan ahli-ahli politik Islam dan yang semua yang berkenaan agar menyatakan sikap dan pendirian terhadap cadangan PKPIM ini. Jangan biarkan mereka bersendirian menerima serangan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Atau apakah kita semua juga sudah lunak dan termakan dengan dakyah kumpulan berfahaman ulta liberal barat ini?


Sumber: RoslanSMS
Read more!