Tiga Jenis Hati Bentuk Peribadi Manusia

PERKEMBANGAN jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati.

Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT. Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya.

Di antara kedua-dua jenis hati itu, ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit) yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan dengan desakan hawa nafsu.

Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata” (surah Fathir: 32).

Berdasarkan ayat ini Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan :

* Golongan Zhalimun Linafsih - iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan dan larangan) serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).

* Golongan Mukhtasid - iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi laranganNya.

* Golongan Sabiqun Bil-Khairat - iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya menunaikan kewajipan, sebaliknya melakukan amalan sunat, tetap istiqamah melaksanakan perintah (suruhan dan larangan) serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.

Sayid Sabiq pula telah membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat :

1) Nafsu amarah iaitu tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.

2) Nafsu Lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal salih serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.

3) Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan kebaikan amal salih.

Menurut Iman al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) dan mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamalan dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata-mata.

Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.

Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa. Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams: 7-10).

Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik dan sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata `sadr’ yang bererti “dada” untuk menggambarkan suasana hati (jiwa). Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.

“Perang batin” ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyakinan (aqidah/keimanan) yang teguh. “Perang batin” ini dapat dirasai ketika manusia ingin melakukan ibadat seperti solat, puasa, berzakat, berjihad dan sebagainya. Untuk mencapai keyaqinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksanakan oleh manusia dan inilah yang sering disebut sebagai “jihad besar”.

Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan) mengenal Allah SWT. Qalbu (hati) perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat (bernegara) amat jelas; jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya, sebaliknya jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.

Sebuah hadis nabi bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).

Dalam masyarakat Melayu sering kita mendengar kata-kata seperti ‘Hati Iblis’, ‘Hati Yahudi’,’Hati Malaikat’ dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya. Hati yang kotor (keji) boleh menjadi hijab kepada ‘Nur Ilahi’.

Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).

Justeru, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin.

Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (Surah al-Kahfi: 28).

Hawa adalah kecenderungan nafsu kepada syahwat. Ia adalah ciri tingkah laku negatif yang merosakkan kehidupan manusia. Ia menyukai, menyenangi dan merindui terhadap perkara yang dihajati atau dikehendakinya oleh syahwah.

Syahwah adalah kalimat dalam al-Quran yang menggambarkan keinginan insan terhadap keseronokan, kelazatan dan kesenangan (surah Maryam: 4). Ia juga bermaksud fikiran tertentu yang cenderung ke arah melakukan kejahatan dan penyelewengan dan syahwah juga bermaksud perilaku terhadap seks ( An-Nisaa: 27)( An-Naml: 55).

Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.



Nota: Artikel ini ditulis oleh Mohd Ayop Abd Razid, dipetik dari koleksi ruangan Agama Berita Harian Read more!

Khutbah Jumaat: Ingat Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Saudara-saudara sekalian,

Hari Jumaat adalah hari yang sangat istimewa di sisi Islam dan umatnya. Rasulullah SAW pernah menyebutnya sebagai penghulu sekalian hari.

Keistimewaan hari Jumaat ini lebih terserlah lagi apabila ianya terakam sebagai nama bagi salah satu surah Al-Quran, iaitu: surah Al Jumu'ah. Di antara ayat yang difirmankan Allah di dalamnya berbunyi :

Ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Apabila kamu telah menunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat yang dibacakan tadi mengandungi seruan dalam panduan yang sangat penting sepenting hari Jumaat itu sendiri bagi setiap Muslim untuk mencapai kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Seruan dan panduan tersebut ialah:

Pertama: Kita disuruh meninggalkan urusan jual-beli atau apa jua urusan dan bersegera kepada mengingati Allah apabila kita diseru untuk menunaikan solat Jumaat. Seruan ini kita sahut dengan berkumpul di masjid-masjid bagi mendengar khutbah dan bersolat jamaah di samping amalan-amalan lain seperti iktikaf dan zikrullah.

Beruntunglah orang yang menyahut seruan ini, seperti mana yang disebut dalam ayat tadi, manakala amat rugilah dan malangnya orang yang mengabaikan perintah ini. Mereka yang tidak dapat melakukannya tanpa keuzuran syarie, adalah orang yang belum dapat dikatakan beriman dengan ertikata yang sebenar-benarnya. Kerana orang yang beriman pasti akan melaksanakan perintah Tuhannya tanpa melengah-lengahkannya.

Kedua : Selepas menunaikan solat kita disuruh bertebaran di atas muka bumi ini, berusaha mencari rezeki dan kurniaan Alalh, melakukan amal baik, meningkatkan ilmu, iman, dan sebagainya. Kita kembali menyambung tugas harian kita dan berusaha melakukan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah, untuk kepentingan diri kita sendiri, keluarga dan umat manusia lainnya.

Ketiga : Kita disuruh banyak berzikir dan mengingati Allah. Mengingati Allah dengan arti kata kita sentiasa berada dalam keredaan Allah dan hidayah-Nya dengan memelihara segala perintah dan larangan-Nya. Dengan demikian, kita akan mendapat kejayaan seperti mana yang disebutkan dalam ayat tadi. Ini adalah kerana dengan mengingati Allah kita akan sentiasa berhati-hati dan berusaha melakukan yang terbaik. Kita dipandu oleh hidayah dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah.

Saudara-saudara sekalian,

Perkara yang ketiga inilah yang ingin kita renung sejenak. Dalam banyak keadaan, ramai manusia yang lupa akan Allah, tetapi sebaliknya yang selalu dalam ingatan mereka hanyalah urusan-urusan keduniaan sahaja yang sering memperdaya manusia daripada mengingati Allah. Allah berfirman mengenai hal ini di dalam surah Ali Imran ayat 185 yang berbunyi:

Ertinya : ".....dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan kesenangan yang memperdayakan".

Saudara-saudara sekalian,

Terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran yang menganjurkan kita agar sentiasa mengingati Allah. Ayat-ayat tersebut pula sering mengaitkan zikrullah atau mengingati Allah itu dengan kejayaan. Antaranya, firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 45 :

Yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh) maka teguhkanlah hati kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu mendapat kejayaan".

Dari ayat-ayat yang dibacakan tadi, jelaslah kepada kita bahawa kerja dan usaha baik kita yang bersungguh-sungguh dalam apa jua lapangan akan mudah mendapat kejayaan jika kita sulami usaha-usaha tersebut dengan sentiasa mengingati Allah dan menyebut Nama-Nya.... - kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Sebaliknya jika kita lupa akan Allah dan berpaling daripada mengingati-Nya maka kita akan ditimpa kehidupan yang sempit di dunia dan dibangkitkan dalam keadaan buta pula di akhirat. Allah berfirman di dalam surah Taha ayat 124:

Yang bermaskud: "Barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Beginilah saudara-saudara sekalian keadaan orang yang memalingkan diri daripada peringatan Allah - orang yang seolah-olah memutuskan hubungannya dengan Allah. Orang ini akan menghadapi kehidupan yang sempit, tidak tenang dan tidak akan merasakan kepuasan dalam hidup ini. Orang yang semacam ini tentunya tidak memiliki kekuatan menghadapi cabaran hidup. Mudah putus asa apabila berhadapan dengan kegagalan dan sentiasa akan menyalahkan keadaan apabila ia tidak berjaya. Bagaimanakah orang yang seperti ini dapat benar-benar mengecapi nikmat kejayaan sebenar di dunia ini?, apatah lagi di akhirat kelak.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama sentiasa memuhasabah diri kita dan sentiasa ingat kepada Allah dalam setiap tindak-tanduk dan gerak-geri kita. Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hasyr, ayat 19:

Yang bermaksud: "Dan janganlah kamu (menjadi) seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik".

Baarakallah..........


Note: Teks khutbah ini diambil daripada koleksi khutbah jumaat oleh MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura) Read more!

Keistimewaan dan Amalan Hari Jumaat

Abu Huraira reported the Holy Prophet, peace and blessings of Allah be upon him, as saying: ‘The best day on which the sun has risen is Friday; on it Adam was created, on it he was made to enter Paradise, on it he was expelled from it. And the Last Hour will take place on no day other than Friday.’ The Holy Prophet also said on the occasion of Friday: ‘We who are the last shall be the first on the Day of resurrection, except that every Ummah (nation) was given the Book before us and we where given it after them. It was this day (Friday) which Allah prescribed for us and guided us to it and the people came after us with regard to it, the Jews observing the next day and the Christians they day following that.’ With regard to Friday, the Holy Prophet was also reported as saying: ‘There is no time on Friday at which no Muslim would stand, pray and beg Allah for what is good but He would give it to him’ and he pointed with his hand that (this time) is short and narrow. There is a good deal of difference of opinion among the scholars as to what exactly is that fortunate hour on Friday when the supplication would be granted. The best course is that this hour should be treated as hidden, and the whole day should be spent in supplication and glorification of Allah. It was the Holy Prophet’s practice to attach special significance and honour to Friday. Examples of this behaviour are numerous, however, the following could be cited: On that day, he recommenced reciting Soorah as-Sajdah (in fajr) [and al-Insaan] because it is inclusive of all affairs relevant to Friday; taking a bath, using perfume and miswak, going to Friday’s congregational prayer early, listening to the sermon, wearing one’s best clothes and remembering Allah all the time. When the Holy Prophet stood on the pulpit delivering Friday speech (sermon), his eyes would redden and his voice rise sharply with extreme anger. He, however, used to shorten the speech but prolong the prayer following it.

(Mukhtasar Zaad ul Ma`aad, Imam Ibn ul Qayyim al Jawziyyah)

Abdullah bin Munzir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan yang terbesar disisi Allah. Ia adalah hari yang lebih besar di sisi Allah daripada hari Raya Fitri. Pada hari itu telah terjadi lima perkara iaitu : Penciptaan Adam. Pada hari itu juga dikeluarkan dia dari syurga. Pada hari itu juga, dia wafat. Dan pada hari itu terdapat satu masa di mana tidaklah seorang hamba itu meminta sesuatu dari Tuhannya melainkan akan dikurniakan kepadanya selagi dia tidak meminta yang haram. Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat".

(Hadis Riwayat Ibnu Majah & Al-Baihaqi)


Hari Jumaat telah dipilih oleh Allah s.w.t. untuk dijadikan sebagai penghulu segala hari serta hari yang paling utama dalam seminggu buat umat nabi Muhammad s.a.w. kerana pada hari inilah banyak peristiwa besar telah berlaku, sebahagiannya sepertimana yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Selain itu, hari jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.

Daripada Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sedang membicarakan tentang hari Jumaat, dan baginda bersabda: Padanya (hari Jumaat) terdapat suatu saat yang tidak ditemui oleh seorang hamba (Allah) yang muslim dengan dia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dipohonkannya itu diberikannya kepadanya. Dia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkatkan".

(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Bagi sesetengah yang lain, mereka amat berharap agar akan diambil nyawa mereka pada hari Jumaat kerana barangsiapa yang mati pada hari Jumaat ataupun pada malam hari Jumaat, Allah akan memeliharanya daripada fitnah kubur.

Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata : Rasululah s.a.w. telah bersabda :

"Tidaklah daripada seorang muslim yang mati pada hari atau malam Jumaat, melainkan dia dipelihara Allah daripada fitnah kubur".

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Pada hari Jumaat terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan demi mendapat pahala dan keredha'an daripada Allah s.w.t. :

* Memperbanyakkan doa, zikir dan selawat

Firman Allah Dalam Al-Quran yang mulia :

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat telah berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna ke atasnya (nabi)".

(Surah Al-Ahzab, ayat 56)

* Memperbanyakkan bacaan Al Quran
Surah-surah yang digalakkan untuk dibaca :
Malam Jumaat : Surah Yaasin, Al-Kahfi
Waktu Subuh : Surah As-Sajdah, Al-Insan
Selesai solat Jumaat : Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Naas
* Bangun awal di pagi hari dan niat untuk mandi Jumaat

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata : Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

"Sesiapa di antara kamu yangg pergi (solat) Jumaat, maka hendaklah dia mandi".

(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

* Membersihkan badan daripada bau yang tidak menyenangkan
* Mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, memotong dan mengemaskan misai, memotong bulu ari-ari dan sebagainya.

Daripada Ibnu Abbas r.a. berkata :

"Nabi Muhammad s.a.w. biasanya mengerat kuku pada hari Jumaat dan mencukur misai baginda sebelum baginda berangkat untuk menunaikan solat ".

(Hadis Riwayat Tabrani)

* Bersiwak
* Memakai bau-bau yang wangi

Daripada Salman r.a. berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w. :

"Tiadalah mandi seseorang pada hari Jumaat lalu bersuci sekadar kekuasaannya serta memakai minyak wangi, dan dipakai haru-haruman di rumahnya kemudian keluarlah dia dengan tidak melangkah tengkuk orang yang duduk dalam saf, kemudian mengerjakan solat yang telah diperintahkan kepadanya(solat sunat tahyatul masjid), kemudian berdiam diri apabila Imam telah berkhutbah, melainkan diampuni baginya dosa antara Jumaat itu dengan Jumaat yang lain".

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

* Memakai pakaian serba putih
* Menyegerakan pergi ke masjid

Firman Allah s.w.t. :

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk kamu menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan meninggalkan jual beli. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui".

(Surah Al-Jumu'ah, ayat 9)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w. :

"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah, kemudian dia berjalan ke Jumaat(menunaikan solat) pada saat pertama, maka seolah-olah dia telah berkorban seekor unta. Dan sesiapa yang berjalan pada saat kedua, solah-olah dia telah berkorban seekor lembu. Dan sesiapa yang berjalan pada saat ketiga seolah-olah dia telah berkorban seekor biri-biri. Sesiapa yang berjalan pada saat keempat, seolah-olah dia telah berkorban seekor ayam dan seesiapa yang berjalan pada saat yang kelima, seolah-olah dia telah bersedekah sbiji telur. Maka apabila Imam telah naik ke atas mimbar, maka hadirlah segala malaikat untuk mendengar khutbah".

(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

* Duduk diam di dalam masjid dengan niat iktikaf dan mendengar khutbah setelah datang awal ke masjid.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w. :

"Apabila tiba hari Jumaat, berdirilah para malaikat di setiap pintu masjid, menuliskan nama orang-orang yang masuk ke masjid, satu demi satu, maka apabila Imam telah duduk di atas mimbar, mereka lipatkan buku catatan meerka dan bersama-sama mendengar khutbah (yang disampaikan) itu".

(Hadis Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

* Apabila masuk masjid hendaklah sembahyang Tahiyatul masjid
* Mengambil iktibar daripada khutbah yang dibacakan oleh khatib
* Menunaikan solat-solat sunat Jumaat pada sebelum dan sesudah solat Jumaat
* Memperbanyakkan amalan sedekah

Firman Allah s.w.t. :

"Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami kurniakan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang daripada kamu; lalu dia berkata : Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk di dalam orang-orang yang soleh?"

"Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu ajalnya. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".

(Surah Al-Munafiquun, ayat 10 & 11) Read more!