Adnan Ibrahim
Poi pokan naik basikal
tongah hari tongah paneh
Bait lagu nyanyian Ito Blues Gang bukanlah mengambarkan budaya berbasikal masyarakat kota masa kini tetapi sekurang-kurangnya ia memberi gambaran bahawa kesediaan empat Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berpeluh berbasikal ke sidang Dewan Rakyat.
ImageAhli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin, Tian Chua (Batu), N. Gobalakrisnan (Padang Serai) dan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dilaporkan masuk Malaysian Book of Record sebagai Ahli Parlimen pertama naik basikal ke Parlimen.
Tindakan keempat-empat mereka itu berbasikal ke Parlimen secara tidak langsung merasmikan upacara perasmian untuk melancarkan cara hidup berjimat yang lupa dirasmikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat ubah gaya hidup.
Pada kebiasaan acara perasmian Perdana Menteri, akan menepung tawar, memotong riben, memandu jengkaut, traktor dan lain-lain tetapi kenapa dalam perkara besar untuk mengubah gaya hidup tidak diatur sedemikian rupa bagi memberi pendidikan kepada rakyat.
Sepatutnya berbasikal ke Parlimen dilaksanakan Abdullah bersama pemimpin kanan mereka untuk dijadikan acara perasmian sebaliknya telah didahulukan oleh empat Ahli Parlimen KeADILan yang seolah-olah bertindak sebagai duta Perdana Menteri bahkan dapat masuk dalam rekod.
Mereka yang dapat sanjungan ini, rupanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pula mengeji.
Beliau sifatkan perbuatan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.
Katanya, mereka cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.
Bagi negara maju di Eropah dan negara membangun Asia Timur, berbasikal ke pejabat menjadi amalan yang sudah biasa dan bukanlah satu pandangan yang aib menggambarkan kehidupan peribadi miskin sebagaimana pandangan mata kasar rakyat Malaysia.
Sesungguhnya berbasikal di Malaysia memalukan seperti lagu Ito tadi berbasikal ke bandar kerana tidak berkemampuan disebabkan bekerja menorah getah. Sambungan daripada rangkap diatas tadi:
apo dayo motong gotah
apo nak dikato
kalau buleh nak jadi cikgu sekolah kek kolo pilah
Oleh yang demikian tindakan keempat-empat ahli parlimen tersebut boleh memecah kebuntuan penyakit keegoaan masyarakat supaya dapat melihat berbasikal itu bukan kerana kemiskinan tetapi merupakan jentera paling jimat masa kini dan tidak mencemarkan alam sekitar di samping melahirkan rakyat yang cergas dan sihat.
Bagaimanapun empat ahli parlimen itu belum berjaya untuk melahirkan matlamat sedemikian rupa walaupun sudah ada ke arah tersebut kerana mereka bukanlah pemimpin yang sepatutnya menjadi tauladan sebagaimana slogan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepimpinan melalui tauladan.
Bagi mencapai cita-cita berbasikal menjadi amalan, kerajaan sepatutnya kena bertindak terlebih dahulu, menjadi contoh kepada rakyat.
Mahligai Abdullah dengan bangunan Jabatan Perdana Menteri tidak berapa jauh. Abdullah boleh menunjukkan contoh suspen kepada kakitangan dan rakyat dengan tiba-tiba muncul berbasikal ke pejabat, sebagai langkah pengajaran.
Perbuatan tersebut tidak bermaksud menyuruh Abdullah berbasikal setiap hari tetapi memadai beliau menjadikan amalan baik kerana sekurangnya Perdana Menteri dapat menjiwai rakyat bawahan yang miskin dan berbasikal.
Jika amalan tersebut berterusan bolehlah rakyat anugerahkan pemimpin berjiwa rakyat. Kalau dahulu beliau turun padang dikatakan berjiwa rakyat tetapi ia tidak lebih daripada lakonan seperti berlakon naik basikal tadi.
Sahabat Rasulullah s.a.w yang memimpin kerajaan dahulu bukan berlakon naik basikal tetapi memang kehidupannya sama dengan rakyat biasa sehingga mereka menjiwai perasaan rakyat yang hidup miskin.
Dalam Sahih Bukhari ada menyatakan ketika Rasulullah saw pulang daripada mendapat wahyu pertama, Khadijah berkata: "Seseungguhnya anda itu betul-betul menyambungkan kekeluargaan, suka menanggung beban orang yang sedang dalam kesukaran, memberi pertolongan kepada orang miskin, gemar menghormati tetamu dan menolong orang yang ditimpa bencana sama ada diperlakukan secara tidak adil oleh orang lain."
Falsafah pemimpin Islam berlumba menjadi paling miskin daripada rakyatnya yang miskin bukan berlumba menjadi paling kaya daripada rakyatnya yang kaya.
Abu Bakar, Umar dan lain-lain tidak melakukan demand untuk diri sendiri sebagai pemimpin sebaliknya memastikan rakyat terlebih dahulu menikmati kehidupan sempurna barulah beliau merasa selesa untuk hidup senang.
Diriwayatkan Ibn Sa'd, pada tahun kelaparan pemerintahan Umar bahawa unta disembelih lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga kepada Umar.
Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya: "Dari mana diperolehi ini?". Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata 'Umar: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa." Dalam riwayat al-Tabari, Umar juga tidak makan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai terlebih dahulu dapat memakannya. Umar mengambil sikap sedemkian kerana barangan makanan berkurangan di pasar.
Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?".
Bersediakah Abdullah mengambil Umar sebagai idola beliau untuk diterapkan dalam pemerintahannya?
Allah berfirman dalam surah al-Isra ayat 26-27: "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya."Selain itu kerajaan juga kena meningkatkan prasarana laluan berbasikal dan pejalan kaki. Prasarana jalan ibu kota dan peraturan tidak memberi keutamaan kepada penjalan kaki dan berbasikal kerana itu kenderaan tidak menghormati pihak yang kecil sehingga mengancam nyawa.
Koridor jalan mesti selesa untuk kemudahan laluan basikal supaya tidak menganggu kenderaan lain dan perasaan penunggang lebih tenteram berbasikal tanpa rasa takut dirempuh kereta atau kenderaan berat. - mns_ Read more!