Khutbah Jumaat: Ingat Allah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Saudara-saudara sekalian,

Hari Jumaat adalah hari yang sangat istimewa di sisi Islam dan umatnya. Rasulullah SAW pernah menyebutnya sebagai penghulu sekalian hari.

Keistimewaan hari Jumaat ini lebih terserlah lagi apabila ianya terakam sebagai nama bagi salah satu surah Al-Quran, iaitu: surah Al Jumu'ah. Di antara ayat yang difirmankan Allah di dalamnya berbunyi :

Ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Apabila kamu telah menunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat yang dibacakan tadi mengandungi seruan dalam panduan yang sangat penting sepenting hari Jumaat itu sendiri bagi setiap Muslim untuk mencapai kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Seruan dan panduan tersebut ialah:

Pertama: Kita disuruh meninggalkan urusan jual-beli atau apa jua urusan dan bersegera kepada mengingati Allah apabila kita diseru untuk menunaikan solat Jumaat. Seruan ini kita sahut dengan berkumpul di masjid-masjid bagi mendengar khutbah dan bersolat jamaah di samping amalan-amalan lain seperti iktikaf dan zikrullah.

Beruntunglah orang yang menyahut seruan ini, seperti mana yang disebut dalam ayat tadi, manakala amat rugilah dan malangnya orang yang mengabaikan perintah ini. Mereka yang tidak dapat melakukannya tanpa keuzuran syarie, adalah orang yang belum dapat dikatakan beriman dengan ertikata yang sebenar-benarnya. Kerana orang yang beriman pasti akan melaksanakan perintah Tuhannya tanpa melengah-lengahkannya.

Kedua : Selepas menunaikan solat kita disuruh bertebaran di atas muka bumi ini, berusaha mencari rezeki dan kurniaan Alalh, melakukan amal baik, meningkatkan ilmu, iman, dan sebagainya. Kita kembali menyambung tugas harian kita dan berusaha melakukan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah, untuk kepentingan diri kita sendiri, keluarga dan umat manusia lainnya.

Ketiga : Kita disuruh banyak berzikir dan mengingati Allah. Mengingati Allah dengan arti kata kita sentiasa berada dalam keredaan Allah dan hidayah-Nya dengan memelihara segala perintah dan larangan-Nya. Dengan demikian, kita akan mendapat kejayaan seperti mana yang disebutkan dalam ayat tadi. Ini adalah kerana dengan mengingati Allah kita akan sentiasa berhati-hati dan berusaha melakukan yang terbaik. Kita dipandu oleh hidayah dan peraturan yang telah ditentukan oleh Allah.

Saudara-saudara sekalian,

Perkara yang ketiga inilah yang ingin kita renung sejenak. Dalam banyak keadaan, ramai manusia yang lupa akan Allah, tetapi sebaliknya yang selalu dalam ingatan mereka hanyalah urusan-urusan keduniaan sahaja yang sering memperdaya manusia daripada mengingati Allah. Allah berfirman mengenai hal ini di dalam surah Ali Imran ayat 185 yang berbunyi:

Ertinya : ".....dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan kesenangan yang memperdayakan".

Saudara-saudara sekalian,

Terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran yang menganjurkan kita agar sentiasa mengingati Allah. Ayat-ayat tersebut pula sering mengaitkan zikrullah atau mengingati Allah itu dengan kejayaan. Antaranya, firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 45 :

Yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh) maka teguhkanlah hati kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu mendapat kejayaan".

Dari ayat-ayat yang dibacakan tadi, jelaslah kepada kita bahawa kerja dan usaha baik kita yang bersungguh-sungguh dalam apa jua lapangan akan mudah mendapat kejayaan jika kita sulami usaha-usaha tersebut dengan sentiasa mengingati Allah dan menyebut Nama-Nya.... - kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Sebaliknya jika kita lupa akan Allah dan berpaling daripada mengingati-Nya maka kita akan ditimpa kehidupan yang sempit di dunia dan dibangkitkan dalam keadaan buta pula di akhirat. Allah berfirman di dalam surah Taha ayat 124:

Yang bermaskud: "Barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Beginilah saudara-saudara sekalian keadaan orang yang memalingkan diri daripada peringatan Allah - orang yang seolah-olah memutuskan hubungannya dengan Allah. Orang ini akan menghadapi kehidupan yang sempit, tidak tenang dan tidak akan merasakan kepuasan dalam hidup ini. Orang yang semacam ini tentunya tidak memiliki kekuatan menghadapi cabaran hidup. Mudah putus asa apabila berhadapan dengan kegagalan dan sentiasa akan menyalahkan keadaan apabila ia tidak berjaya. Bagaimanakah orang yang seperti ini dapat benar-benar mengecapi nikmat kejayaan sebenar di dunia ini?, apatah lagi di akhirat kelak.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama sentiasa memuhasabah diri kita dan sentiasa ingat kepada Allah dalam setiap tindak-tanduk dan gerak-geri kita. Janganlah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hasyr, ayat 19:

Yang bermaksud: "Dan janganlah kamu (menjadi) seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik".

Baarakallah..........


Note: Teks khutbah ini diambil daripada koleksi khutbah jumaat oleh MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura)

0 comments:

Post a Comment