Hamba dan Perhambaan Masa Kini

“Islam meminta supaya manusia menuju kepada satu tujuan sahaja iaitu ikhlas dalam menghambakan diri kepada Allah, jangan menyembah manusia lagi”. (Syed Qutb, Petunjuk Sepanjang Jalan, h. 65).

Perkataan al-‘Ibadah sering disempitkan maknanya. Ibadah sering dimaksudkan sebagai amalan keagamaan yang dilakukan di dalam masjid pada waktu-waktu tertentu. Setelah itu, manusia merasa bebas dan merdeka untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang dikehendaki. Ibadah juga bukanlah sekadar gerak hati untuk berniat baik. Tanpa merasa perlu melakukan aktiviti wajib yang lainnya.

Ibadah sebenarnya berasal dari perkataan ‘abada (beribadah, menyembah, mengabdi). Manakala perkataan ‘abuda bererti menjadi hamba sahaya.

Seseorang yang beribadah bererti menjadikan dirinya hamba sahaya hanya untuk menyembah atau mengabdikan diri kepada tuannya. Dengan maksud yang sedemikian rupa siapakah yang disebut hamba? Dan aktiviti apakah yang menjerumuskan seseorang kepada perhambaan?


Image

Pengabdian diri kepada Allah subhanahu wa ta'ala perlu dilatih dari kecil lagi.


Perhambaan Manusia

Kerajaan Parsi sebelum kedatangan Islam, diperintah oleh keluarga Sasanit yang berkuasa secara turun temurun. Mereka merasa lebih tinggi kedudukannya dari manusia biasa. Bahkan mereka menganggap diri mereka sebagai keturunan dewa (tuhan). Seluruh harta kekayaan negara menjadi milik raja-raja dan digunakan sewenang-wenangnya untuk berpesta melampaui batas kesenangan dan kemewahan. (Abu Hassan al-Hassan an-Nadwi, Sirah an-Nabawiyyah, 1989).

Ketika utusan kaum muslimin, Raba'I bin Amir, Huzaifah bin Muhsin dan Mughirah bin Syu’bah berdiri di hadapan Rustum, panglima perang Parsi ,mereka berkata, “Allah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan (perhambaan) terhadap sesama manusia, kepada penyembahan terhadap Tuhan manusia…”. (Syed Qutb, Petunjuk Sepanjang Jalan).

Aktiviti perhambaan sesama manusia mungkin berlaku apabila aktiviti yang dilakukan untuk memuliakan, mengagungkan, membela, menyerahkan jiwa raga kepada seseorang, sehingga melampaui batas kemanusiaan. Walaupun dia rela berdiri sebagai hamba. Keadaan ini berlaku antara lain sebagaimana yang dilakukan oleh para pengikut orang suci Dalai Lama di Tibet, Dewa Matahari di Jepun dan Raja Bhumipol di Thailand. Keadaan ini juga boleh berlaku jika seseorang peminat fanatik terhadap seorang bintang filem, penyanyi, negarawan dan ahli politik. Pada hakikatnya mereka telah diperhambakan. Perhambaan manusia atas manusia.

Perhambaan Ideologi

Ketika mendengar seruan dakwah Rasulullah s.a.w, Adi bin Hatim, pemuka suku Tha’I segera melarikan diri ke Syam. Maka Rasulullah s.a.w menawan saudara perempuannya dan beberapa orang dari kaumnya.

Atas hidayah Allah S.W.T saudara perempuan Adi telah memeluk Islam. Kemudian dia menemui Adi bin Hatim dan menganjurkannya pergi ke Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w. memenuhi anjuran saudaranya itu, Adi bin Hatim berangkat ke Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w. Di lehernya bergantungan kalung salib sebagai lambang kenasraniannya. Melihat kedatangan Adi dengan kalung di lehernya, Rasulullah s.a.w kemudian membaca surah at-Tawbah ayat 31.

“mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai Rabb (tuhan) selian Allah dan (juga mereka menjadikan tuhan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Ilah yang Maha Esa, tidak ada Ilah kecuali Dia, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan”.

Mendengar bacaan Rasulullah s.a.w Adi bin Hatim memprotes, “Kami tidak menyembah orang alim kami”. Rasulullah s.a.w menjawab, “para rahib itu mengharamkan ke atas kaumnya apa yang halal dan menghalalkan apa yang haram, kemudian diikuti oleh mereka. Maka itu bererti pengabdian (penyembahan). Dengan jawapan itu, Adi kemudian telah memeluk Islam. (terjemahan ringkas, Ibn Kathir, Jilid IV).

Ajaran para rahib Nasrani antara lain mengatakan bahawa Isa al-Masih adalah Ilah (tuhan) yang harus disembah (ajaran Saint Paul), menghalalkan daging babi yang diharamkan Allah S.W.T dan mengharamkan ibadah nikah yang telah dihalalkanNya. Bila ajaran ini diikuti, maka perbuatan mengikuti itu merupakan sebuah bentuk pengibadatan kepada ajaran Nasrani (yang telah diselewengkan) sekaligus sebuah bentuk penyembahan terhadap penditanya.

Perhambaan Kepada Material

Al-Ahnaf bin Qays melihat seseorang memegang wang dirham, lalu bertanya, “Milik siapakah wang itu?”.

“Milikku,” jawab orang itu.
“Wang itu menjadi milikmu jika anda belanjakan untuk sesuatu yang akan mendatangkan pahala atau menimbulkan rasa syukur”.

Kemudian al-Ahnaf membaca sebuah syair, “Anda dimiliki oleh harta jika anda tahan (tidak gunakan). Sebaliknya, jika harta itu anda sedekahkan atau belanjakan, maka harta itu benar-benar menjadi milik anda”. (Terjemahan ringkas, Ibn Kathir, Jilid 9).

Kebenaran syair yang dibaca oleh al-Ahnaf bin Qays itu dapat kita temui dalam kehidupan sehari-hari. Begitu ramai manusia yang bersusah payah, bekerja keras, membanting tulang, memerah keringat, hanya untuk mengumpul harta sebanyak-banyaknya. Bahkan kadang-kadang dengan berbagai cara haram yang dihalalkan. Menyodok kanan kiri, menekan yang dibawah, menjilat yang di atas, menendang yang didepan, menutupi apa yang ada di belakang. Padahal, dia sendiri tidak sempat untuk menikmati seluruh hasil usahanya itu.

Orang-orang yang terseret dalam dunia korupsi, monopoli, riba dan apa sahaja kerja yang sejenis itu, untuk menebalkan poketnya sendiri. Sesungguhnya dia telah menjadi hamba harta, hamba kekayaan, sebagaimana syair yang dibacakan oleh al-Ahnaf di atas. Rasulullah s.a.w telah mengecam orang-orang seperti itu dengan sabdanya antara lain bermaksud, “Celaka dan kecewa hamba wang dinar atau dirham, celaka hamba perhiasan, permaidani atau pakaian”. (HR Bukahri).

Perhambaan Kepada Jin

Pasa suatu malam, Kurdum bin Abi Sa’ib al-Ansari dalam perjalanan ke Mekah untuk menemui Rasulullah s.a.w. Beliau bermalam di rumah pengembala kambing. Ketika malam semakin larut, datang seekor serigala dan secepat kilat menyambar seekor kambing. Pengembala itu segera berseru, “Hai penjaga daerah lembah ini, ku harap perlindunganmu!”.

Tiba-tiba terdengar suara, “Hai Sarhan, lepaskanlah!”. Kemudian kambing yang disambar serigala itu lari kembali dan masuk ke dalam kandangnya. Tanpa terluka atau terganggu sedikitpun. (Terjemahan ringkas, Ibn Kathir, Jilid 8).




Dalam kisah di atas, pengembala kambing itu telah melakukan syirik. Dia meminta perlindugan daripada roh-roh penguasa wilayah itu. Ini termasuk perhambaan kepada roh atau jin. Allah S.W.T berfriman, “Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan”. (Surah al-Jin : 6).

Jika berkhemah di suatu tempat, biasanya seseorang membaca, “Aku berlindung dengan pemimpin Jin di tempat ini, jangan diganggu diriku dan anak-anakku, atau ternakan serta harta kekayaanku”. (Asudi, Ibn Kathir). Ini menyebabkan jin semakin bongkak. Dia makin berani melakukan kejahatan dan menakut-nakutkan manusia. Hingga sebahagian manusia rela memberikan persembahan-persembahan sesuai dengan permintaan jin. Manusia seperti ini telah masuk ke perangkap perhambaan kepada Jin.

Perhambaan Kepada Hawa Nafsu

Kebiasaan orang Arab Jahiliyyah adalah menyembah benda-benda yang disukainya. Boleh jadi, hari ini dia menyembah batu yang bentuknya indah. Namun bila dia menemui benda lain yang lebih menarik hatinya, maka batu itu ditinggalkan. Kemudian dia akan beralih menyembah benda baru yang lebih menarik itu. Begitulah seterusnya. (Tafsir Ibn Kathir). Tentang keadaan ini, Allah S.W.T berfirman, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Ilah (tuhan)nya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya…”. (Surah al-Jathiyah : 23).

Nafsu menuntut untuk selalu dipenuhi dan dituruti. Ketika dirinya sendiri sudah tidak berkuasa untuk menolak, bahkan terus memburu kepuasan nafsunya, saat itulah sedar atau tidak dia telah menjadi hamba hawa nafsunya.

Munculnya perilaku homoseksual, hiperseks, lesbian dab sodomi merupakan fenomena manusia yang diperhambakan oleh nafsu seks. Akibatnya timbullah penyakit-penyakit mental, "sex maniac" dan sebagainya. Ada pula orang yang diperhambakan oleh nafsunya yang selalu menjadikannya gelisah dan gundah gulana. Maka larilah mereka mencari pil 'ectasy', ganja, morfin dan yang sejenis dengannya. Jadilah mereka hamba hawa nafsu yang mengabdikan diri kepada kepuasan nafsunya semata-mata.

Manusia Yang Merdeka

Allah S.W.T berfirman, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Ku”. (Surah az-Zariyat : 56). Islam berpijak pada pengertian bahawa manusia adalah ‘abd, hamba atau pelayan Allah, hamba kepada Penciptanya, hamba kepada Maha Pemberi , Pemelihara, Penguasa mutlak dan Rabb semesta alam. Kemudian Allah S.W.T melantik manusia sebagai wakilNya di muka bumi.

Maka langkah yang lurus dari pemahaman ini adalah untuk menjadikan Allah S.W.T sebagai satu-satunya sembahan sedangkan manusia sebagai abdi (hambaNya). Adalah suatu yang amat keliru apabila manusia mengambil Tuhan selain Allah atau sembahan-sembahan selain Allah. Bahkan adalah tidak wajar bila manusia menjadikan dirinya sendiri sebagai tuhan selain Allah S.W.T.

Menjadikan hanya Allah S.W.T sebagai sembahan, adalah dengan mengerjakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mematuhi dan melaksanakan perintah Rasul, menghormati kedua orang tua, mentatati pemimpin yang beriman, menunaikan ibadah seharian, menolong sesama manusia, membela kehormatan diri dan agama, menuntut ilmu, semua itu adalah perintah Allah. Maka sebagai hamba yang baik, kita harus berusaha semaksima mungkin untuk melaksanakannya.

Demikian pula sebaliknya. Judi, zina, syirik, membunuh jiwa tanpa alasan syar’I, menindas, menuruti hawa nafsu, merupakan larangan-larangan Allah S.W.T. Maka sebagai hamba yang baik, kita harus berusaha semaksiman mungkin untuk meninggalkannya.

Ini sesungguhnya hakikat manusia yang merdeka. Mengembalikan perhambaan dirinya hanya kepada Allah S.W.T. Tidak menjadi hamba ideologi, tidak pula menjadi hamba manusia, harta benda, makhluk-makhluk halus, hawa nafsu atau yang lainnya.


Sumber: Dakwah-info

0 comments:

Post a Comment