MELIHAT SIRAH MELEPASI BATAS SEJARAH

Saudara kaum muslimin rahimakumullah

Pada hari Jumaat yang barakah ini, dalam bulan Rabi’ul awal yang penuh bersejarah ini, melalui mimbar yang mulia ini, saya menyeru diri saya serta saudara-saudara sekelian, sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t agar kita senentiasa mendapat hidayah dan taufiqNya di sepanjang pelayaran hidup kita di dunia yang fana’ ini. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ahzab ayat 21:

Yang bermaksud “Sesungguhnya terdapat bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. (secara keseluruhannya) contoh yang terbaik, bagi mereka yang mengharapkan Allah s.w.t. dan hari akhirat, dan mengingati Allah dengan sebanyaknya”

Pada khutbah minggu lalu, saudara-saudara telah dibekalkan dengan ilmu tentang Perlaksanaan Sunnah yang sebenarnya secara menyeluruh. Pada minggu ini pula, khutbah ini akan mengupas lebih lanjut tajuk berkaitan sunah iaitu “Melihat Sirah Melepasi Batasan Sejarah”.

Saudara-sauadaraku yang dirahmati sekelian,

Sebelum kita mampu melihat sirah melepasi batasan sejarah, ada beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Antaranya, yang pertama, kita perlu kenal, siapakah Nabi Muhammad s.a.w?.

Namanya begitu mulia sehingga jutaan bibir dan jutaan hati senentiasa bergerak dan berdenyut menyebut namanya sejak seribu empat ratus tahun yang lalu dan akan terus disebut hingga akhir zaman. Namanya dilaungkan dalam azan dan disebut bergandingan dengan nama Allah s.w.t.

Dialah manusia yang telah menjejakkan kakinya ke sidratul muntaha (tempat yang tertinggi) yang tidak tercapai oleh seorang manusia lainpun. Dialah manusia yang pertama memberikan syafaatnya di padang mahsyar dan manusia pertama yang akan membuka pintu syurga. Itulah manusia yang bernama Muhammad s.a.w. Nabi dan Rasul junjungan.

Peranan kedua ialah, mengkaji dan menganalisa sejarah perjuangan baginda. Sebagai contoh, tidak sampai 150 tahun selepas Baginda mengutus surat kepada raja-raja Kisra dan Rom serta penguasa-penguasa lain supaya memeluk Islam, panji Islam telah berkibaran sampai ke Andalus di Eropah barat, ke India dan ke Asia Timur juga negeri-negeri Syam, negeri-negeri Arab, Afrika dan Teluk Balkan. Apakah punca kejayaan Nabi s.a.w dalam dakwahnya, sehingga dapat diterima dengan cepat?.

Inilah faktor yang perlu kita analisa. Kita tidak boleh mempelajari sirah sepertimana kita membaca sejarah-sejarah lama sekadar untuk menambahkan maklumat semata. Kita bertanggungjawab mengkaji rahsia kejayaan Rasulullah s.a.w. dan mengambil iktibar dari contoh-contohnya yang mulia.


Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Adapun peranan yang ketiga, Kita perlu menghayati sirah dan mengaitkannya dengan kehidupan masakini. Sebagai contoh, Semasa di Makkah, Rasulullah s.a.w hidup dikelilingi dengan masyarakat yang kebanyakannya bukan beragama Islam, akan tetapi baginda telah menunjukkan contoh tauladan yang begitu baik, sehingga baginda digelar al-amin (yang jujur) oleh kaumnya. Kerana sifat amanahnya, baginda sering diberikan kepercayaan oleh kaumnya sebagai penyimpan amanah berupa harta benda dan wang ringgit.

Ketika baginda diperintah meninggalkan Makkah untuk hijrah ke Madinah, semua amanah (harta benda) tersebut di serahkan kepada saidina Ali r.a. untuk dikembalikan kepada tuannya masing-masing, sedangkan mereka bukanlah orang Islam.

Kita juga boleh melakukan demikian.Kita perlu menanamkan sifat jujur dan amanah kepada sesiapa pun, bahkan kepada teman-teman dan jiran tetangga yang bukan beragama Islam sekalipun. Ini adalah satu cara kita menghayati sirah dan mengaitkannya dengan kehidupan seharian. Jika tidak, mempelajari sirah tidak ubah seperti kita membaca cerita-cerita dongeng atau sebagai penglipur-lara dan tidak melebihi batasan sejarah.

Keempat, memahami sirah melalui hikmah. Inilah sebenarnya peranan kita dalam melihat sirah melepasi batasan sejarah, menghidupkan semula watak-watak yang pernah di paparkan oleh baginda s.a.w. Dengan lain perkataan, menghayati sirah rasul bukan bererti kita mengikuti 100% cara kehidupan nabi s.a.w yang lahiriah sahaja dan kehidupan zaman silam tanpa menilai hikmah disebaliknya.

Sebagai contoh, dapur baginda jarang berasap, hidupnya sangat sederhana. Apakah kita perlu melakukan perkara serupa kerana beranggapan mengikuti yang lahiriah itu sahajalah sunnah baginda sehingga menyusahkan diri sendiri dan dipandang hina oleh masyarakat?

Rasulullah s.a.w hidup demikian, ada hikmah disebaliknya. Antaranya, agar menjadi tauladan kepada para pemimpin dan manusia sejagat, bahawa kekayaan bukanlah menjadi ukuran di sisi Allah s.w.t. Kekayaan merupakan fitnah yang boleh menjerumuskan manusia ke dalam neraka, jika tidak digunakan sebaik-baiknya. Oleh itu, nabi s.a.w. memilih untuk hidup miskin tetapi mulia di dunia ini. Ini dapat kita lihat bagaimana Nabi s.a.w. meninggalkan dunia ini, tanpa meninggalkan sesuatu kekayaan dunia kepada sesiapa, sekalipun untuk anak dan isterinya.


Demikanlah, saudara-saudara sekalian kesederhanaan hidup yang dipilih baginda s.a.w. Pilihan baginda untuk hidup sedemikian tidak pula mebawa kepada kemunduran Islam dan kesengsaraan keluarga serta masyarakat pada ketika itu. Bahkan sebaliknya menjadi faktor tarikan kepada risalah yang dibawanya dan Kejayaan Islam pada ketika itu.

Namun, bagaimana pula dalam konteks kehidupan kita dan umat Islam pada hari ini? Jika kemiskinan yang kita pilih, apakah kesanya pada diri kita, keluarga, masyarakat, negara dan umat keseluruhannya?

Di sinilah letaknya keperluan untuk memahami sunnah secara seimbang dan menyeluruh. Bahkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam hadisnya yang diriwayatkanoleh Imam Muslim:

Bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi hambaNya yang bertaqwa, kaya tetapi merendah diri.

Bahkan Rasulullah s.a.w juga yang menggalakkan sahabat-sahabatnya untuk berniaga dengan sabdanya yang bermaksud 90% kekayaan adalah dari sumber perniagaan.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Begitulah peranan yang boleh kita mainkan dalam memahami sirah Nabi besar kita serta menghayatinya dalam kehidupan dan menambah kecintaan kita kepada Nabi besar Muhammad s.a.w.

Mencintai Rasullulah s.a.w bukan dengan angan-angan kosong. Kita tidak mampu lagi mengagongkan nabi dengan hanya mengadakan majlis-majlis maulidur rasul dan berhenti setakat itu. Atau sekadar mengumpulkan orang ramai dan menceritakan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh baginda s.a.w. dan sahabatnya. Sementara kita tetap kekal di takok yang lama dan keadaan yang serba lemah dari segi ilmu pengetahuan, ekonomi dan sosial.

Kita perlu mempunyai matlamat jelas mencontohi Rasul dalam mempelajari sirah. Jika tidak, kita akan tersasar dan sirah tidak akan memberi kesan dalam kehidupan.

Demikianlah tanggungjawab kita terhadap sirah nabi Muhammad s.a.w. dengan memahaminya melepasi batasan sejarah Kita perlu mempertahankannya dengan rasa yakin diri serta mempelajari dan mengamalkan sunnah nabi dengan ilmu pengetahuan yang jelas tanpa merasa hina dan rendah diri.


P/S: Dipetik dari salah satu koleksi khutbah Jumaat

0 comments:

Post a Comment