Kerana hadir MiniFest Kelantan 2007, Maya Karin diketepikan?

Oleh Ali Bukhari Amir

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Hrkh) - Kesan politik terhadap dunia hiburan dan artis turut dirasai oleh pelakon Maya Karin apabila kehadirannya bagi memenuhi acara forum MiniFest Kelantan 2007, hujung Disember tahun lalu mula dipandang negatif oleh sesetengah pihak.

Bercakap kepada akhbar aliran perdana kelmarin, pelakon yang dikaitkan dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam itu menyifatkan tindakan pihak yang mempolitikkan hal kehadirannya sebagai panelis forum dalam acara tersebut sebagai tidak sihat.

“Kenapa perkara itu pun mahu dijadikan isu? Saya mewakili artis lain mahu perjuangkan filem dan seni. Itu saja. Kenapa jadikan saya mangsa? Itu yang menyedihkan.

“Saya ke sana pun sebab orang Kelantan yang nak dengar pandangan saya. Kenapa kita nak tolak pelawaan jika ia sesuatu yang baik?” kata Maya sambil menegaskan dalam kenyataannya bahawa kedatangannya ke Kelantan itu tidak berunsurkan politik.

Menurut laporan sisipan Pancaindera, Maya dikatakan tidak dipelawa menghadiri mana-mana promosi filem 1957 : Hati Malaya yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya pelakon dan bukannya ahli politik. Malah saya rasakan jemputan itu sesuatu yang amat baik untuk saya. Rupa-rupanya apabila tiba, saya diberi persepsi berlainan oleh pihak-pihak tertentu. Hal ini benar-benar membuatkan saya berasa amat kecewa.

“Tujuan saya, ialah mahu menjadikan diri saya agar lebih bagus memberikan pendapat dalam sesebuah forum. Bukan ada maksud lain yang tersirat. Sebagai artis saya milik semua dan saya boleh bertemu sesiapa saja yang meminati saya,” kata beliau.

Kerajaan Kelantan, menurut Maya, hanya menjemputnya sebagai ahli panel untuk bercakap tentang industri perfileman dan pengalamannya sebagai pelakon.

Malah, kata Maya, beliau rasa cukup bertuah kerana acara itu dihadiri pensyarah, para pelajar dan wartawan serta beliau menganggap forum itu sebagai suatu pengiktirafan terhadapnya.

“Di dalam forum itu saya turut beri cadangan kepada kerajaan Kelantan supaya menyediakan panggung wayang sekiranya mereka mahu menyokong industri perfileman negara.

“Ketika Festival Filem Malaysia ke 20 (FFM20) di Pulau Pinang dahulu, saya pernah jadi ahli panel dalam acara yang hampir serupa. Jadi kepada saya, ia bukan satu masalah. Sebaliknya, ia adalah peluang yang baik untuk meningkatkan kerjaya saya.

“Kita hidup dalam negara demokrasi. Tidak baik menggunakan seseorang untuk kepentingan tertentu, kerana yang menjadi mangsa adalah saya. Adalah lebih baik selidik dahulu apa yang seseorang itu lakukan,” kata Maya sepertimana yang dilapor akhbar berkenaan. - mr


Sumber: HarakahDaily

0 comments:

Post a Comment