Sikap Baru Untuk Malaysia Baru

163727458_b4e88c85ce_o.gif

foto

Kemenangan dan kekalahan di dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu adalah lembaran baru untuk Malaysia Baru.

Kemenangan yang dicapai mengatasi teori-teori politik perdana yang mengisi wacana pra pilihanraya. Ia terlalu jauh dari jangkaan semua pihak.

Hakikatnya, Allah SWT sudah pun memberitahu:

annaml-50.jpg

“Dan mereka telah merancangkan (konspirasi), dan Kami pula merancangkan (balasannya), sedang mereka tidak menyedarinya.” (Al-Naml 27 : 50)

Saya yakin, rejim yang baru ditumbangkan itu tidak pernah sedar dan tidak pernah mengambil kira soal ‘perancangan Allah’. Mereka sangat yakin dengan segala keupayaan yang ada untuk meneruskan tradisi kemenangan yang sudah bagai tahu sebelum diberitahu. Kuasa majoriti besar, kuasa penguasaan media yang amat keterlaluan, kuasa wang, kuasa SPR dan segala-galanya, terungkap dalam keangkuhan hingga mereka lupa kepada Makar Allah terhadap makar mereka.

Mereka lupa siapa Allah terhadap KUASA.

alimran-26.jpg

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Aal Imraan 3 : 26)

Setelah sekumpulan manusia membelakangkan tujuan Allah memberi kuasa, bahawa untuk mereka menegakkan keadilan dan memuliakan manusia dengan kemanusiaannya, Allah mencabut kuasa itu dan menyerahkannya kepada pasukan lain yang dengan sepenuh hati menyatakan kesediaannya untuk berlaku adil.

Jika tidak Allah, siapakah yang mengubah hati pengundi hantu untuk mengundi Barisan Rakyat?

Siapakah yang membuang prejudis dari hati kaum non-Muslim untuk menyokong PAS?

Allah yang Maha Adil memuliakan keadilan, dan mengangkat manusia yang menjunjung keadilan, menghina dan menjatuhkan si zalim dan kezalimannya.

Itu sifir jatuh bangun setiap sudut kehidupan manusia sebagaimana yang tercatat di dalam rakaman sejarah.

SEGALANYA BARU

Segala-galanya adalah baru.

Sebagaimana Khir Toyo, Tajol Rosli dan Mahadzir Khalid perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa kuasa bersama status baru sebagai Ketua Pembangkang, begitulah suasana baru ini memerlukan semua pihak untuk belajar menyesuaikan diri.

Kelantan menang selesa untuk meneruskan agenda yang telah sedia ada.


foto

Akan tetapi bagi negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang dan terutamanya Selangor dan Perak, ia adalah sesuatu yang baru. Suasana yang baru ini memerlukan kita kepada sikap yang segar dan baru untuk menyambutnya dengan betul. Bukankah sebelum pilihanraya lagi, kita sudah bekerja keras untuk mewujudkan pendirian yang segar dan baru untuk mengundi?

Kita melihat kaum Cina dan India tanpa ragu-ragu mengibarkan bendera PAS dan PKR. Malah mereka hadir dengan jumlah yang amat signifikan ke ceramah kempen-kempen pilihanraya PAS dan PKR hingga sebahagiannya terangsang untuk sama bertakbir! Itu pengalaman saya sendiri semasa berkempen. Dan itu sudah pun mencorakkan Malaysia dengan Malaysia yang baru.

Biar pun agak penat berdepan dengan usaha menyuntik pembaharuan kepada politik orang Melayu (akibat pelbagai TAHU tetapi terus lemah MAHU dan MAMPU), namun suasananya tetap suasana baru. Orang Melayu yang Muslim itu, dengan semangat Islam mereka pantas menyokong dan mengundi PKR malah DAP!

“Ada pahala ke ustaz, kalau undi DAP?”, tanya orang kepada saya.

“Pastinya, pengundi BN tahun 2008 dunia tak dapat, Akhirat pun tak dapat!”, itu jawapan ringkas saya.

Dalam erti kata yang lain, tiada lagi PAS untuk Melayu Muslim atau DAP sebagai lawannya. Kesemuanya bergerak senada bahawa kita menolak kezaliman dan penindasan Barisan Nasional, lantas setiap parti menerima sokongan yang amat pluralistik wajahnya.

MENGAPA MAHU KEMBALI KEPADA YANG LAMA

Setelah kejayaan di dalam pilihanraya dikecap dengan usaha baru, mengapa kemenangan itu mahu disambut dengan kembali kepada isu-isu lama? Kenapa mahu berpatah kepada square one?

13 Mei 1969…

Ia menjadi titik resah segelintir yang silap membaca sejarah.

Pilihanraya 2008 bergerak bukan dengan sentimen perkauman. Isunya bukan isu perkauman. Bukan Melayu tipu Cina atau India, bukan Cina atau India yang menjadi masalah kepada Melayu. Tetapi Melayu, Cina dan India bangkit untuk berdepan dengan Barisan Nasional, yang menjadi masalah kepada semua orang.

UMNO kalah, MCA kalah, MIC kalah. Pemenang adalah rakyat yang menjunjung keadilan dan menolak kezaliman.

Ini sudah cukup untuk menjadikan 8 Mac 2008, tiada kena mengena dengan 13 Mei 1969.

Tambahan pula dengan sokongan warna warni yang diterima oleh PAS, PKR dan DAP… menjadikan sentimen perkauman sungguh tidak relevan. Sebaliknya harapan setiap pengundi yang mengundi pembangkang, tanpa mengira parti, adalah untuk memulihkan harapan kita bagi melihat Malaysia yang lebih sejahtera.

Pagi Ahad 9 Mac 2008 adalah pagi yang sangat aman.

Ia mendamaikan jiwa kita semua.

Malah pihak yang menang sudah pun membuat kenyataan awal bahawa kemenangan ini tidak akan disambut dengan apa-apa acara, khususnya acara jalanan, kerana menghormati kemenangan itu sebagai suatu tanggungjawab. Ini juga sudah amat berbeza dengan mood 1969.

Begitu juga dengan majoriti pengundi 2008. Mereka bukan lagi Melayu yang sengsara dengan penyeksaan zaman Jepun atau era komunis. Mereka bukan lagi Cina atau India yang diberi kerakyatan, tetapi mereka adalah anak Malaysia yang melihat negara ini dengan pandangan yang sama seperti pandangan Melayu.

Jika Malaysian Malaysia yang dilaungkan oleh DAP pada 1969 banyak bercakap tentang soal HAK, maka laungan Barisan Rakyat pada 2008 lebih banyak bercakap tentang soal PERANAN.

1969 hanyalah modal divide and rule yang selayaknya diperkatakan oleh golongan yang kehilangan kuasa semata-mata. Perlakuan membakar Tadika KEMAS atau apa sahaja yang bersifat provokasi kebelakangan ini, hanyalah perlakuan golongan yang tidak dapat menerima kekalahan. Apa rasionalnya untuk Barisan Rakyat bertindak sedemikian?

Bagi Barisan Rakyat, kita harus memandang ke depan, dengan wajah dan sikap yang baru.

ANTARA HAK DAN PERANAN

Sikap baru yang diperlukan oleh kita semua bagi mengisi kemenangan 2008, amat bergantung kepada persepsi kita kepada soal HAK dan PERANAN.

Hal ini lebih ketara untuk menjawab isu yang berlaku di negeri Perak.

Tentu sekali, tiada dalam perhitungan PAS, DAP dan PKR di Perak untuk merancang kemenangan hingga beroleh kuasa. Malah isu Undang-undang Tubuh Negeri yang menjadi topik hangat semasa juga tidak timbul sama sekali kerana tidak tergambar di fikiran sesiapa untuk melihat Barisan Nasional bergerak sebagai pembangkang di negeri ini.

Proses perlantikan Menteri Besar dan seterusnya Exco Kerajaan Negeri, sangat memerlukan kita semua kepada memfokuskan soal PERANAN berbanding HAK.

Rakyat secara keseluruhannya mengundi DAP, PKR dan PAS bukanlah sebagai ekspresi menuntut hak. Sebaliknya kita semua mahukan sebuah kerajaan baru yang lebih baik, yang lebih berkesan dalam melaksanakan peranannya. Maka pembentukan kerajaan baru di negeri Perak mestilah keluar dari soal perdebatan tentang hak kepartian, sebaliknya kembali memikirkan soal efisyensi dan peranan… kerajaan yang bagaimanakah yang membolehkan mereka berperanan dan bukannya soal kerajaan yang bagaimanakah yang berjaya memberikan hak atas asas parti.

Saya sebagai anak Perak, mahukan pemimpin yang mampu berperanan dan menyuburkan persefahaman dalam kerajaan baru serba baru ini, tanpa mengambil kira soal parti. Saya tidak mahu dipimpin oleh Melayu yang tidak berkemampuan.

Saya meyakini kebijaksanaan Istana Perak yang bertuah dengan Sultan Negeri yang juga bekas Ketua Hakim Negara. Begitu juga dengan pemangkunya yang amat terpelajar dan berpemikiran tinggi untuk mengatur kami rakyat Perak dengan sebaiknya. Perak adalah negeri yang terbukti bijak, pada tahun 2008.

Malah saya juga meyakini keterbukaan pemimpin PAS, DAP dan PKR untuk mengambil peluang dari kemenangan ini untuk saling bekerjasama, belajar dan mengajar serta memfokuskan orientasi mereka kepada peranan dan bukan lagi permainan hak yang sudah sekian lama membantutkan Taaruf yang tulen oleh sesama rakyat yang berbilang bangsa juga agama.

PELUANG BELAJAR

Bagi PAS Perak, ambillah peluang ini untuk belajar dan menimba pengalaman yang unik. Jika PAS Perak berjaya membangunkan pemikiran siasah mereka dalam suasana Perak, maka PAS Perak boleh menjadi model terbaik untuk PAS yang compatible dengan realiti Malaysia.

Allah SWT menganugerahkan PAS Perak dengan peluang untuk mencanai fikrah dan agendanya dalam suasana kerajaan campuran, agar PAS bertemu dengan formula Politik Islam yang berjaya mentadbir kepelbagaian bangsa dan agama, yang sebelum ini hanya mampu berteori.

Kelantan dan Terengganu tiada peluang seperti ini kerana dominasi penduduk Melayu Muslim yang ketara.

Namun di negeri Perak, PAS berpeluang untuk duduk bersama kaum dan agama yang pelbagai… ia bakal menjadi pengalaman yang amat berharga untuk menafikan dakwaan Olivier Roy di dalam analisanya, “The Failure of Political Islam“.

Bukan sahaja untuk PAS, malah DAP juga berpeluang untuk lebih mendekati kaum yang pelbagai.

Di kawasan saya di P.64 dan N.27, pengundi Melayu mengundi DAP untuk menambahkan kemenangan Lim Kit Siang dan Su Keong Siong tanpa pernah mengenali dan bersemuka dengan mereka berdua.

Tetapi undian diberikan kerana Lim Kit Siang merupakan seorang Ahli Parlimen yang sangat efektif. Beliau memainkan peranan yang penting dalam membela nasib rakyat melalui PERANANnya di Parlimen dan dikenali sebagai the sworn enemy of corruption, abuses of power and gross mismanagement . Pengundi beliau di P.64 berbangga menghantar Ahli Parlimen yang paling aktif, malah menjawat jawatan Ketua Pembangkang dengan berkesan. Ia jauh lebih membanggakan berbanding dengan pengundi di P.41 yang menghantar sang penidur dan punca kemerosotan partinya sendiri.

Begitu juga dengan Thomas Su yang menjadi ADUN di N.27 Pasir Pinji harus mengambil peluang dari mood 2008 untuk mendekati penduduk Melayu di Kampung Pasir Puteh dan PAS Kawasan boleh memainkan peranan untuk menjadi orang tengah dalam memobilisasikan Thomas Su agar lebih mesra dengan pengundi Melayu.

Ia adalah peluang belajar untuk semua.

DAP dan PAS yang lebih berkepelbagaian, bersama PKR yang boleh banyak berperanan untuk menjadi pendamai antara dua dimensi DAP dan PAS… akan menghasilkan formula terbaik untuk Malaysia.

aalimraan-54.jpg

“Dan mereka itu pun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya” (Aal Imraan 3 : 54)

Nak tengok Malaysia baru, tengok Perak!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

1 comments:

  Maliki xp

5:52 AM

Alhamdulillah akhirnya barisan rakyat telah membuka satu fenomena politik di awal tahun 2008 ini... tahniah di ucapkan buat semua rakyat yang telah melakukan perubahan... walaupun sedikit terkilan kerana Terengganu masih blm dpt ditawan, tp insyaAllaah pada PRU akan dtg tidak mustahil lagi negeriku tercinta akan kembali bersama kepimpinan ulama'...amin


p/s: post ni sy copy & paste dari blog abu saif...hmm x smpt nk coret ape² lagi kat blog ni... penat ;)

Post a Comment