Kuala Terengganu, 12 Mac - Mursyidul Am PAS Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima watikah pelantikan Menteri Besar daripada Sultan Kelantan dan mengangkat sumpah didepan Sultan disini semalam. Bernama juga melaporkan Ir Hj Mohammad Nizar Jamaludin akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak, pertama dari PAS(selainnya UMNO)
manakala Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, esok.
Tok Guru Nik Aziz, 77, kekal menjadi Menteri Besar Kelantan untuk penggal kelima, sejak PAS menerajui negeri pada tahun 1990, dilahirkan pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan, pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Universiti al-Azhar di Mesir, dan mempunyai lima anak lelaki serta lima anak perempuan
Manakala Mohammad Nizar, 51 adalah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, menyertai parti tersebut pada 1995 dan bertanding kali pertama bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas kepada penyandangnya Datuk Seri Rafidah Aziz.
Abdul Khalid, 62, akan mengangkat sumpah dan melafazkan ikrar taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, pukul 3.30 petang esok. Abdul Khalid memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Sayuti Said dengan majoriti 1,920 undi. Ini adalah kali kedua beliau bertanding di kerusi itu, setelah cubaan kali pertama bertanding pada pilihan raya kecil kawasan yang sama April tahun lepas tetapi tewas kepada calon BN, K. Parthiban
Dengan adunan empat Menteri Besar dari Barisan Alternatif(BA) (termasuk Ustaz Azizan di Kedah), dua berkelulusan Ugama, satu Jurutera dan seorang lagi ahli korperat akan dapat meningkatkan pembangunan dan ekonomi ke empat-empat negeri tersebut dengan kerjasama yang terjalin rapat antara satu sama lain.
Sehubungan dengan itu Harakahdaily melaporkan, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua menyatakan tiada masalah yang timbul antara KeADILan dan DAP dalam peruntukan satu kerusi kepada DAP dalam kabinet kerajaan Kedah yang disepakati antara PAS, KeADILan dan DAP.
Berhubung dengan perlantikan Menteri Besar Perak, menurut Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian dalam soal perlantikan Menteri Besar ialah bahawa hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang boleh dilantik ke jawatan itu.
"Sebab itu di Perak meskipun DAP memiliki jumlah kerusi yang paling banyak di kalangan barisan pembangkang mereka perlu memberikannya kepada parti-parti yang mempunyai Adun Melayu," jelas Dr. Abdul Aziz lagi.
Di Shah Alam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud berkata beliau telah menemui ketua-ketua jabatan untuk menjelaskan perkara tersebut.
"Biarpun tampuk pemerintahan kerajaan negeri Selangor bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada pakatan parti yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS, namun urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa," katanya menurut Bernama, dalam satu sidang akhbar hari ini.
Sumber: BuletinOnline
0 comments:
Post a Comment